Jazz - Musician/Composer/Producer
Press

Karisma Chika Asamoto ~ Ternama Global

Khamis 3 Mei 2012

KOSMO! 2 / Haryati Karim


Pemain saksofon profesional pertama di Jepun, Chika Asamoto telah hadir di Malaysia baru-baru apabila diundang oleh kelab No Black Tie, Kuala Lumpur untuk membuat persembahan pada 27 dan 28 April lalu.

Hadir sama dalam persembahannya itu adalah pemuzik yang sering mengadakan persembahan di Jepun bersamanya sejak dua tahun yang lalu iaitu pemain piano jazz terkenal Shigeo Fukuda, Miyazaki Izumi yang merupakan pakar eek bunyi secara langsung ketika persembahan serta pemain bass dari Singapura, Tony Makarome.

Temu bual yang dijalankan dengan kerjasama pihak Japan Foundation yang bertindak selaku penterjemah berlangsung dalam suasana yang cukup santai beberapa jam sebelum persembahan mereka bermula.

Chika memulakan bicara dengan memberitahu, kunjungannya ke Malaysia bukan buat kali pertama tetapi ia merupakan persembahan julung-julung kalinya di Malaysia bersama Shigeo, Miyazaki dan Tony. "Saya pernah beberapa kali ke Malaysia, malah pada tahun lalu saya diundang oleh penyanyi Ning Baizura untuk bermain saksofon pada konsertnya. Saya sudah lama mengenali Ning," ujarnya.

Chika yang menetap di Bali bersama suaminya selama enam tahun baru sahaja mengadakan persembahan di Yokohama, Jepun pada 24 April lepas sebelum ke Kuala Lumpur. "Kehidupan seorang pemuzik memang tidak akan tetap disatu tempat dan itu yang seronok kerana dapat melihat banyak negara serta budaya kerana muzik," ujar Chika.

Membesar di Tokyo, Jepun, Chika mula mengenal muzik pada usia kanak-kanak lagi apabila ibu bapanya membelikannya sebuah piano. Kehidupannya berubah apabila menyertai program pertukaran pelajar ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada usia 20 tahun. Bekerja di kelab malam sebagai pelayan secara tidak langsung telah membuatnya jatuh cinta dengan irama jazz dengan berkenalan dengan pemain saksofon jazz, Art Pepper.

Bermula dengan hanya saksofon terpakai, Chika tidak menoleh ke belakang apabila kerjayanya sebagai pemain saksofon soprano bertahan sehingga kini dan telah pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi terkenal seperti Reza (Indonesia), Jaya (Filipina), Kim Johan (Korea), Ash (Korea), Shunza (Taiwan) dan Ning (Malaysia).

"Menjadi pemain saksofon wanita pertama di Jepun bukan satu perkara yang mudah kerana rata-rata pemain saksofon dimonopoli oleh lelaki.
"Sangat sukar sebenarnya kerana perbezaan jantina merka sering membezakan saya dengan pemuzik lain. Bagaimanapun kerana minat, saya terus berada dalam dunia jazz sehingga hari ini. Bagi saya, sebagai wanita kita tidak perlu meletakkan had untuk terus maju, harus bijak cari peluang dan kekalkan matlamat yang ingin dicapai," katanya.

Graduan Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat itu telah melahirkan 11 buah album antaranya, Bali Harum dan terbaharu Catalpa yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Disoal apa yang membuatkan sering ke Malaysia, jawabnya: "Saya suka budaya, cuaca dan orang Malaysia yang sangan merendah diri dan mesra. Sebenarnya orang Malaysia sama seperti Jepun. "Kehidupan disini lebih tenang, cuma bezanya orang Malaysia dan Jepun adalah tahap disiplin. Orang Malaysia suka melakukan sesuatu secara semula jadi tanpa sebarang paksaan tetapi masyarakat di Jepun melakukan sesuatu perkara mengikut apa yang telah dijanjikan tanya melewati seminit pun dan kehidupan mereka sangat sibuk."